Utama / Terkini / Berita / Ukhuwwah Merentas Sempadan

Ukhuwwah Merentas Sempadan

Ukhuwwah Islammiyah tidak mengenal sempadan negeri, daerah mahu pun bangsa. Itulah yang dapat dibuktikan oleh rombongan Yayasan Ikhlas cawangan Sabah yang bekerjasama dengan Baitulmal Sarawak dan Urusetia Saudara Kita cawangan Lawas dalam menganjurkan program Bakul Kasih Ramadhan di Masjid Ukhuwwah Al-Falah, Ulu Merapok, Lawas, Sarawak.

Seramai 50 keluarga miskin dan muallaf telah menerima sumbangan BKR dalam program yang dijayakan bersama oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Kota Kinabalu dengan Etiqa Takaful Berhad sebagai penyumbang dana terbesar.

“Sumbangan ini mungkin tidak mampu mengubah taraf hidup penduduk kampung ini tapi sekurang-kurangnya menggembirakan golongan yang memerlukan menjelang aidilfitri yang bakal tiba. Sumbangan ini lebih kepada dasar persahabatan dan kasih sayang sesama muslim,” ujar Dr Ustaz Sarip Adul, Jawatankuasa Eksekutif Yayasan Ikhlas cawangan Sabah.

“Kami sangat terharu kerana Yayasan Ikhlas sanggup datang ke kampung ini. InsyaAllah semoga program yang lebih menarik dapat dijalankan dengan kerjasama erat kedua-dua pihak, ” kata Puan Nor Syaza Syafiqah Abdullah, Pengerusi Urusetia Saudara Kita (USK) cawangan Lawas, sebuah pertubuhan bukan kerajaan tempatan yang majoriti ahli ialah saudara baru dan komited membantu golongan muallaf lain. Yayasan Ikhlas bukan nama yang asing bagi beliau memandangkan terdapat banyak program berbentuk kebajikan melibatkan kerjasama YI Sarawak dan USK sebelum ini.

Ustaz Shahtella Montel yang mewakili Baitulmal Sarawak mendoakan agar usaha ini tidak sia-sia dan semoga menjadi pencetus kepada penerima untuk terus beramal dan mendekatkan diri dengan Allah. Beliau juga mendoakan agar usaha ini diberkati dan digandakan pahala lebih-lebih di bulan Ramadhan.

Pada hari sebelumnya, rombongan Dr Sarip Adul dan 20 sukarelawan ISMA Kota Kinabalu diterajui Ketua Biro Pemuda, Dr Mohamad Sobri Mohamad Saupi turut menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Sumbangan BKR kepada 50 keluarga miskin dan muallaf di Kampung Pelakat, Sipitang.

Tahun ini, Yayasan Ikhlas menyasarkan seramai 2500 penerima Bakul Kasih Ramadhan di seluruh Malaysia. Selain Sipitang & Lawas, Yayasan Ikhlas cawangan Sabah terlibat dalam mengagihkan sumbangan BKR kepada 250 keluarga yang miskin dan muallaf di sekitar Sabah, iaitu 3 pusat penyerahan di Tambunan, 2 di Lahad Datu dan satu di Sandakan, sepanjang 16 hingga 18 jun yang lalu.

 

Profil Isa Mohd Hasan

Anda Juga Meminati

Jangan Cakap Aku Tak Payung

Bro.. Pernah jadi tak kat korang?Kawan yang umur sebaya dengan korang, sihat walafiat, segar bugar, main futsal sana, badminton sini. Kadang-kadang panjat gunung itu, bukit sini semua ada kesan tapak kaki dia. Tiba-tiba korang dapat berita dia meninggal. Masa tu memang antara percaya dengan tidak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *